Cacat Pendengaran Bukan Halangan

CYBERJAYA 25 Ogos – Tiga sahabat cacat pendengaran mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Maklumat pada Majlis Konvokesyen Ke-15 Universiti Multimedia (MMU) di sini, semalam.

Mohd. Farhan Kamarzaman, 24, L. Mutharasapan, 26 dan Liew Lik Hern, 22, ketika ditemui bersyukur dan puas dengan kejayaan tersebut kerana bagi mereka kecacatan bukan penghalang seseorang itu untuk berjaya.

Mohd. Farhan dari Kuala Lumpur berkata, cabaran paling sukar yang terpaksa dihadapinya adalah masalah berkomunikasi dalam memahami apa yang diajar di dalam kelas terutama pada minggu pertama pengajian.

“Alhamdulillah, MMU menyediakan sistem pembelajaran dalam talian (MMLS) yang membolehkan saya mengikuti pengajian termasuk mendapatkan nota kuliah sebelum kelas bermula. Melalui sistem ini membolehkan komunikasi dilakukan secara bertulis,” katanya yang lulus dengan kepujian selepas majlis konvokesyen itu di sini, semalam.

Kesemua lima ahli keluarganya iaitu ibu bapa dan seorang adiknya yang juga cacat pendengaran turut hadir menyaksikan Mohd. Farhan menerima skrol daripada Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi.

Sumber: Utusan.com